Pages

Subscribe:
..:: "Welcome to La takhaf wala tahzan, thanks you for visit and don't forget to give your comment in this website " ::..
  • Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan
  • Nilai seseorang sesuai dengan kadar tekadnya, ketulusannya sesuai dengan kadar kemanusiaannya, keberaniannya sesuai dengan kadar penolakannya terhadap perbuatan jahat dan kesucian hati nuraninya sesuai dengan kadar kepekaannya terhadap kehormatan dirinya
  • Ketahuilah bahwa sabar, jika dipandang dalam permasalahan seseorang adalah ibarat kepala dari suatu tubuh. Jika kepalanya hilang maka keseluruhan tubuh itu akan membusuk. Sama halnya, jika kesabaran hilang, maka seluruh permasalahan akan rusak.
  • Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia-siakan sahabat yg telah dicari
  • Orang yang tidak menguasai matanya, hatinya tidak ada harganya
  • Orang-orang yang suka berkata jujur mendapatkan tiga hal, kepercayaan, cinta, dan rasa hormat

Kamis, 09 Februari 2012

l-Khulafaa’ ar-Raashidoon


Al-Khulafaa’ ar-Raashidoon: Bayna al-Istikhlaaf wa al-Istisyhaad
(Al-Khulafaa’ ar-Raashidoon: Di Antara Perlantikan Sebagai Khalifah dan Syahidnya Mereka di Jalan Allah, Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi)

Terjemahan:
Hasrizal Abdul Jamil
B.A (Hons) Shariah, Mu’tah University, Jordan.


Judul Asal:  Al-Khulafaa' ar-Raashidoon Bayna al-Istikhlaaf wa al-Istisyhaad
Terbitan: Dar al-Qalam, Dimashq
Cetakan: Pertama 1416H / 1995M


MUQADDIMAH

Sesungguhnya segala pujian itu bagi Allah, kami memujiNya, kami memohon bantuanNya, kepadaNya kami bertaubat dan memohon keampunan. Kami memohon perlindungan dengan Allah dari kejahatan diri kami dan kecelaan perbuatan kami. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tiadalah penyesat baginya dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah upaya sesiapa untuk menjadi petunjuk baginya. Aku bersaksi bahawa tiada Ilah melainkan Allah, Tuhan yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan utusanNya. Selawat Allah dan Salam ke atas baginda, kaum keluarganya serta seluruh sahabatnya. Amma ba’du…

Sesungguhnya mempelajari sejarah dan meneliti peristiwa-peristiwanya adalah sesuatu yang bermanfaat lagi mendatangkan kesan yang mendalam. Mereka yang mengusahakan perkembangan ilmu ini menyumbangkan pelbagai faedah dan pengajaran. Allah SWT sendiri memerintahkan kita supaya merenung perkara-perkara yang telah berlaku kepada generasi lalu, mempelajarinya, mengambil iktibar dan seterusnya mendapatkan petunjuk-petunjuk yang terkandung di samping pengajaran dan faedah yang ada.

Mempelajari Sejarah Islam yang merangkumi empat belas kurun hingga sekarang, sememangnya merealisasikan petunjuk-petunjuk ini, pengajaran, faedah dan iktibar yang dimaksudkan.

Sejarah yang kita maksudkan ini, yang menjangkau tempoh masa empat belas kurun, adalah sejarah muslimin dari aspek mereka itu sebagai individu dan masyarakat. Kehidupan mereka merangkumi segala aspek yang terkandung, sama ada yang positif atau negatif, kebaikan mahupun keburukan.

Sesungguhnya ia adalah Sejarah orang-orang Islam, dan bukannya Sejarah Islam! Kami tegaskan hakikat ini yang kadang-kadang mereka yang berkepentingan atau terkeliru melakukan kesilapan di dalam memahaminya.

Tidak semua sejarah Muslimin itu adalah sejarah Islam. Oleh yang demikian, tidak kena jika sejarah Muslimin menjadi alat untuk menghukum ke atas Islam itu sendiri.

Sesungguhnya di sana terdapat perbezaan di antara Sejarah Islam dengan Sejarah Muslimin.

Sejarah Muslimin adalah kehidupan yang dialami oleh orang-orang Islam, peristiwa-peristiwa yang mereka hasilkan, tidak kira sama ada mereka itu sebagai individu atau kumpulan, negara-negara atau kerajaan, pemerintah atau yang diperintah.

Bagaimana orang Islam hidup di zaman-zaman tertentu dari Sejarah mereka, kehidupan mereka dari aspek politik, ekonomi, keilmuan mahu pun sosial? Bagaimana keadaan pemerintah mereka, serta golongan yang diperintah di zaman tersebut? Bagaimana mereka berinteraksi dengan kaum-kaum yang lain? Bagaimana kekuatan dan kelemahan mereka, kesatuan mereka mahu pun perpecahan yang berlaku, ketaatan mereka juga keingkaran, dekatnya hubungan dengan Allah atau jauhnya mereka dariNya, iltizam mereka dengan Islam atau berpalingnya mereka??

Kesemua persoalan ini bermaksud, Sejarah Muslimin sepanjang empat belas kurun itu, terkandung di dalamnya kebaikan dan kejahatan, kesalahan mahu pun yang betul, bahkan di dalamnya juga terbentang lembaran yang hitam dan gelap, serta yang putih bersinar lagi menerangi. Sejarah itu mengandungi perkara yang mendatang keaiban kepada orang Islam apabila membacanya, melukakan hatinya dan mendukacitakan perasaannya. Sejarah itu juga mempunyai sekalian yang membolehkan orang Islam mendongakkan kepala mereka dengan megah dan bangga kerana di dalamnya terkandung gambaran-gambaran ketinggian diri, kekuatan dan kemuliaan serta kewibawaan Muslimin. Akan tetapi di dalam Sejarah itu juga terdapat gambaran kehinaan, kelemahan, sifat pengecut dan rendah harga diri.

Contoh paling nyata bagi aspek yang hitam dan kelam dari Sejarah Muslimin, adalah Sejarah Muslimin yang ‘rasmi’ pada zaman ini!!

Tidaklah menghairankan apabila kita temui segala percanggahan dan tunggang terbalik di dalam Sejarah Muslimin ini. Mereka adalah manusia yang melakukan kesalahan, juga bersikap betul dalam tindakan. Mereka ingkar dan mereka taat. Mereka juga beransur lemah dan ada masanya bertambah kuat. Mereka mendaki tinggi dan juga menurun jatuh. Ada masanya mereka tertarik ke arah sana dan ada masanya ke sini, dalam segenap aspek kehidupan, perjalanan dan gerak tingkah laku mereka.

Sesungguhnya Allah SWT yang Maha Bijaksana menjadikan hubungan Muslimin dengan Islam mereka sebagai penimbang untuk membuat pertimbangan terhadap sejarah mereka. Dia menjadikan sejarah mereka itu bersinar dan terang bersebabkan kuatnya hubungan mereka dengan Islam, secara individu mahu pun berkumpulan, sebagai sebuah masyarakat juga sebagai kerajaan. Apabila hubungan mereka dengan Islam menjadi lemah, mereka jatuh dari puncak yang menjulang dan darjat yang tinggi, merosot dalam kehinaan, takut dan lemah. Mereka tidak berganjak kembali ke darjat berikutnya yang tinggi melainkan apabila mereka mengukuhkan kembali hubungan mereka dengan Islam.

Semoga Allah SWT merahmati Umar Al-Khattab apabila beliau memberikan kepada kita perumpaan ini ketika berkata, “kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, nescaya Allah menghinakan kita!!”

Inilah dia hakikat Sejarah Muslimin yang padanya penghormatan bagi mereka, juga kecelaan pada yang selayaknya. Alangkah ramainya mereka yang menjadikan timbunan hakikat ini, semuanya sebagai ‘Sejarah Islam’. Betapa Islam itu dizalimi dengan tindakan sedemikian rupa!!

Sesungguhnya Islam tidak mengiktiraf segala isi kandungan Sejarah Muslimin. Ia tidak akur kepada – sekian banyak- lembaran hitam yang tercatat oleh perbuatan Muslimin di sepanjang sejarah mereka. Islam menolaknya, mengingkarinya dan membebaskan diri daripadanya.

Sejarah Islam adalah sejarah putih bersinar yang tercatat oleh perilaku Muslimin. Ia adalah bentangan kekuatan mereka, keagungan dan kewibawaan mereka. Iaitu ketika mereka itu beriltizam dengan Islam dalam erti kata yang sebenar.

Sesungguhnya Islam tidak mengiktiraf kecuali terhadap kehidupan mulia yang ditempuhi oleh kaum Muslimin, iaitu tatkala mereka mengikat kukuh diri dengannya. Ia tidak menerima melainkan peristiwa yang dihasilkan oleh Islam itu sendiri untuk mereka, kemuliaan yang dibinanya untuk mereka serta jalan yang dilakarkan dan keagungan yang dikurniakan oleh Islam bagi mereka.

Akan tetapi, apabila kaum Muslimin menolak pemberian Islam, jalan dan kemuliaannya, serta berpaling kepada fatamorgana, keciciran dan kehinaan maka Islam tidak akan akur kepada hasilan-hasilan perbuatan mereka ini, tidak menerima untuk kesemua itu dinisbahkan kepadanya.

Realiti ini memandu kita kepada satu lagi hakikat yang ada, bahawa tidak semua Sejarah Muslimin itu suci, tidak semua kejadian dan peristiwanya diterima pakai dan diredhai. Oleh yang demikian, kita tidak berinteraksi dengan sejarah kita secara taasub dan taqdis (melabel suci kepada segala sesuatu). Lantas kita tidak membiarkan diri menjadi binasa dengan cuba mempertahankan segala yang dilakukan oleh generasi yang lalu atau cuba mengambil pakai segala yang terhasil dari perbuatan mereka.

Apa yang diterima pakai bagi kita, hanyalah yang betul, benar dan baik daripada hasilan generasi yang lalu. Manakala yang salah dan batil, kesemuanya adalah tertolak di sisi kita. Kita mengakui akan hasilan itu daripada mereka, akan tetapi kemudiannya kita mengingkari penerimaannya serta membuang dan membebaskan diri daripadanya.

Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk mengiktiraf segala isi kandungan sejarah generasi mereka yang lalu serta meninjau kesemua lembaran putih dan hitam. Hendaklah juga mereka mengambil faedah dan iktibar daripadanya.

Dan demi merealisasikan matlamat ini serta memberi saham kepada khidmat ini, maka kami bentangkan al-Qabasaat at-Taareekhiyyah (Adaptasi Sejarah) ini. Ia kami adaptasikan daripada sejarah kita buat pembaca yang budiman.

Sesungguhnya kami berhenti seketika bersama sejarah kita di beberapa perhentian, kami luangkan seketika waktu bersamanya, kami membelek-belek beberapa lembaran, memetik beberapa petikan dan mengadaptasikan beberapa kesesuaian daripadanya.

Di dalam adaptasi sejarah ini, terdapat lembaran yang putih bersinar, ada juga titik-titik hitam yang gelap. Ada masanya ia mendatangkan kegembiraan dan ada juga yang mendatangkan kelukaan dan kesedihan. Di dalamnya terdapat isi kandungan yang mengangkat kepala seorang Muslim dengan bangga dan megah serta ada juga yang menundukkannya dengan perasaan malu dan hina.

Akan tetapi di dalam adaptasi sejarah ini, kepedihan dan harapan saling beriringan bersama kebaikan dan keburukan.

Akan tetapi, di dalam kesemua itulah juga terhasilnya segala iktibar dan pengajaran.

Bagi pembaca, kami meletakkan satu syarat bahawa kita hanya mengadaptasi peristiwa-peristiwa yang berlaku daripada khabar, pendapat dan riwayat yang paling sahih.

Kita akan menyelak catatan-catatan sejarah kita, menjenguk lembaran-lembarannya, menyingkap baris demi baris dan kemudian kita bentangkan ‘singkapan sejarah’ ini.

Sesungguhnya kami tidak membentangkan singkapan dan adaptasi sejarah ini sebagai hiburan, atau keseronokan bercerita semata-mata. Bahkan kami juga tidak berkehendakkan pembaca terpesong kepada kisah dan hikayat, sekadar untuk meluangkan masa.

Akan tetapi, apa yang kami mahukan dari pembaca, adalah mereka yang belajar dan merenung, memeriksa dan bertadabbur serta memberikan pengajaran dan iktibar kepada yang lain.

Dengan kehendak Allah, halaqah pertama adaptasi sejarah ini adalah berkenaan sebaik-baik Muslimin selepas Rasulullah SAW; mereka itu adalah al-Khulafaa’ ar-Raashidoon berempat – RidhwaanuLlahi ‘alayhim –

Kami bentangkan bagi pembaca catatan tentang perlantikan mereka sebagai Khalifah serta peristiwa syahidnya setiap seorang daripada mereka, bagaimana mereka dipilih oleh kaum Muslimin menjadi Khalifah, bagaimana para penjenayah telah berjaya membunuh mereka, lantas mereka bertemu Allah sebagai syuhada’.

Tidaklah kami ketahui bila masanya halaqah kedua dari adaptasi sejarah ini boleh dihasilkan. Namun, ia bukanlah persoalan utama kerana di sisi kita, adapatasi itu banyak tidak terhitung, dan hanya Allah SWT sahajalah yang menentukan apa yang Dia kehendaki.

Selawat Allah dan Salam ke atas Sayyidina Muhammad, kaum keluarga dan Sahabatnya.



Sweileh. Khamis 28 Muharram 1415H / 7 Julai 1994M
Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalid

0 komentar:

Posting Komentar

 

La takhaf wala tahzan

La takhaf wala tahzan

La takhaf wala tahzan

La takhaf wala tahzan

La takhaf wala tahzan
earth
top down